PETALING JAYA – Meski ramai melarang dan sedar bakal dihujani kecaman, usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri mendedahkan dia bakal melancarkan lagu raya.
Tegas Aliff, orang ramai tidak seharusnya takut mendengar nyanyiannya kerana dia cuma mahu berkongsi bakat kurniaan Ilahi.
“Kenapa takut? Saya bukan alien, momok atau hantu sundel bolong tetapi seorang manusia.
“Saya cuma ingin mencurahkan bakat sebagai anak seni yang telah berkecimpung dalam industri ini selama 12 tahun.
“Mungkin kalian lupa saya ada banyak lagu sebelum ini dan semuanya meletup.
“Tahun ini memang sudah ada perancangan lagu raya. Bukan lagu duet tapi solo dan akan serlahkan bakat serta vokal sebab nak orang dengar betul-betul keunikan suara saya,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran koleksi tas tangan kolaborasi bersama Izara Aishah baru-baru ini.
Tambah Aliff, dia juga menerima tawaran bekerjasama dengan beberapa penyanyi namun terpaksa tolak kerana mahu fokus menghasilkan lagu solo.
“Saya tahu ramai artis cuba buat lagu raya tapi minta maaf, beri laluan kepada artis nombor satu dulu.
“Saya terima banyak tawaran daripada beberapa penyanyi yang nak berduet tetapi saya harus cari yang sama level,” katanya yang turut menyertai kelas vokal baru-baru ini.
Tambah bapa kepada enam cahaya mata itu la’gi, biarkan isteri tercinta, Datin Seri Shahida melarangnya melancarkan lagu raya, dia tetap berdegil kerana mahu namanya kekal relevan.
“Isteri tak benarkan tapi saya tetap nak buat supaya kekal relevan.
“Namun, semua ini sekadar hobi. Apabila ada produk baharu, dapatlah kongsi dengan peminat. Lagu raya ini ibarat hadiah untuk mereka,” ujarnya. – HIBGLAM














