KUALA LUMPUR – Kesalahan memandu tanpa lesen kekal sebagai kesalahan tertinggi dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sepanjang 2025, diikuti kesalahan tiada lesen kenderaan motor (LKM) atau cukai jalan tamat tempoh.
Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 137,192 notis saman dikeluarkan hasil pemeriksaan dan penguatkuasaan yang dijalankan.
“Seramai 26,098 pemandu dikesan melakukan kesalahan memandu tanpa lesen (LDL/PDL/CDL), sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah saman yang dikeluarkan.
“Kesalahan kedua tertinggi ialah tiada cukai jalan atau LKM, melibatkan 21,277 kes, diikuti kesalahan tiada insurans sebanyak 15,874 kes,” katanya pada sidang akhbar di Plaza Tol Sungai Besi di sini hari ini.
Tambah Hamidi, JPJ WPKL turut merekodkan 11,424 kes penggunaan cermin gelap yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan, selain 7,978 kes lebih muatan dan 5,924 kes kenderaan tidak didaftarkan.
Dalam tempoh sama, JPJ WPKL telah memeriksa sebanyak 176,536 kenderaan, dengan 46,119 kenderaan diambil tindakan, manakala 955 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan serius.
Beliau berkata, antara kesalahan lain yang turut menunjukkan peningkatan ialah penggunaan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, serta ketidakpatuhan lampu isyarat merah.
“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu yang mengabaikan undang-undang jalan raya. Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE














