SEMENYIH – Isu kesesakan yang dihadapi penduduk Semenyih sejak sekian lama bakal diatasi menerusi pembinaan Projek Jalan Pintasan Semenyih melibatkan laluan sepanjang 4.3 kilometer (km) yang menghubungkan pengguna ke Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).
Projek itu merupakan kerjasama strategik KHK Land dan Kerajaan Persekutuan melibatkan empat lorong yang menghubungkan penduduk Semenyih ke lebuh raya itu seterusnya enam lebuh raya utama lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan projek itu turut menyentuh isu tanah rizab Melayu yang mana ia diselesaikan secara baik oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Selangor.
“Projek seperti ini kalau tiada usaha tolak ansur untuk diselesaikan, sukar untuk berjalan sebab ia ‘merempuh’ banyak kawasan. Ia juga menyentuh tanah rizab Melayu.
“Antara yang banyak dibangkitkan penduduk adalah kesesakan. Seperti kita lalui tadi, kesesakan ini sampai tahap serius. Saya tahu Ahli Parlimen di sini memang kerap bangkitkan. Tentunya bila siap ia akan beri keselesaan kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih di Kampung Sungai Pening di sini hari ini.
Anwar berkata, Projek Jalan Pintasan Semenyih dilaksanakan secara penswastaan melalui kaedah pertukaran tanah milik Route Edge Sdn. Bhd.
“Dalam masa sama, kerja ambil alih tanah persendirian, soal tanah rizab Melayu itu diganti dan dapat jaminan kerajaan Selangor serta dibantu untuk diselesaikan secara baik,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut menyentuh mengenai perkuburan baharu bagi umat Islam di Kuala Lumpur yang akan dikebumikan di kawasan baharu di Semenyih yang akan diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk diuruskan.
“Sementara kita nak selesaikan tanah pembangunan, tanah kubur agak besar juga bagi memenuhi keperluan kawasan Kuala Lumpur dengan menyediakan tanah perkuburan di Semenyih.
“Kematian yang meningkat juga menuntut kita segera menyediakan kemudahan ini. Unjuran jumlah kematian akan datang dianggarkan lebih 3,000 kematian setiap tahun,” katanya.
Katanya, kawasan perkuburan yang terdapat di Kuala Lumpur tidak dapat menampung keperluan jenazah umat Islam dianggarkan boleh digunakan sehingga maksimum empat tahun.
Tambah beliau, kawasan perkuburan baharu di Semenyih menyediakan 100,000 tapak kubur untuk jenazah umat Islam dari Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE














