JOHOR BAHRU – Seorang Penolong Penguasa Imigresen gred KP29 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dengan menggunakan duit Kelab Kebajikan Rekreasi Inovasi dan Sukan (KKRIS) berjumlah RM61,300, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Ruhaya Hamzah, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan, ibu tunggal seorang anak itu yang memegang jawatan sebagai Bendahari KKRIS, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri dengan curang menggunakan duit kelab untuk kegunaan peribadi daripada akaun kelab KKRIS berjumlah keseluruhan RM61,300.
Perbuatan pecah amanah itu didakwa dilakukan Ruhaya di sebuah bank di Jalan Kenanga 29/3, Genting Indraputra, Kulai antara 26 Januari hingga 15 November 2023.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah SPRM, Chan Lee Lee manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fazaly Ali Ghazali.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 11 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














