fbpx
BAGNAIA membawa semangat baharu untuk mengharungi musim kali ini selepas bergelut sepanjang musim lalu. - AFP

MotoGP: Pecco ikrar kembali bangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BOLOGNA – Pelumba pasukan Ducati, Francesco Bagnaia menegaskan dia bakal turun berjuang pada perlumbaan MotoGP dengan semangat baharu dan bersedia merampas kembali takhta kejuaraan MotoGP daripada rakan sepasukan, Marc Marquez.

Bagnaia melalui musim hambar pada musim lalu dan mengakui bergelut untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok mata selain gagal melayakkan diri dalam kelompok 12 terbaik beberapa kali.

“Saya bercuti bersama isteri untuk melakukan ‘reset’ sepenuhnya. Kemudian kami mula bekerja awal di gimnasium dan menganalisis segala kelemahan.

“Rehat ini sangat berguna. Saya cuba untuk tidak memikirkan perlumbaan berbanding masa lalu dan memberi ruang kepada diri sendiri. Musim lalu agak rumit dan mungkin saya tidak biasa bergelut sebegitu teruk

“Sasaran saya ketika ini adalah untuk menggunakan segala potensi bagi menyukarkan hidup Marquez, bukan membiarkan dia selesa seperti tahun lalu,” tegasnya.

Bagnaia turut mendedahkan bahawa legenda MotoGP, Valentino Rossi memainkan peranan besar dalam memulihkan keyakinannya.

Latihan intensif di litar latihan milik Rossi di Tavullia banyak membantu Bagnaia mengubah mentaliti untuk lebih tenang ketika berdepan tekanan.

“Rossi berpesan, walaupun sedang bergelut, kita perlu cari sudut positif dan kekal tenang. Itu yang saya cuba terapkan untuk musim baharu ini,” katanya.

Bagnaia kini mengharapkan permulaan segar bersama jentera baharu Ducati bagi memastikan dia kembali relevan sebagai pencabar utama gelaran MotoGP. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI