SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman pemula yang difailkan seorang wanita terhadap Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bagi mendapatkan pengisytiharan sebagai bukan beragama Islam.
Peguam, Danial Farhan Zainul Rijal yang mewakili MAINS memaklumkan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris membuat keputusan itu dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian.
Farhan berkata, mahkamah telah menolak permohonan wanita itu berusia 47 tahun dengan kos sebanyak RM4,000.
“Mahkamah membuat keputusan berdasarkan dokumen dan kenyataan pemohon yang berulang kali mengakui beragama Islam di dalam permohonan kad pengenalan, perkahwinan dan perceraian sekali gus menunjukkannya beragama Islam.
“Mahkamah turut mengambil kira bahawa rekod dokumentasi berhubung pengislaman pemohon ketika berusia empat tahun mengikut ibu bapanya ketika itu, termasuk Kad Perakuan Masuk Islam pemohon yang menunjukkan dia telah memohon memeluk agama Islam melalui ibu bapanya,” katanya.
Jelas Farhan, perkara itu selaras di bawah Peraturan No.2 Masuk Islam (Selangor) di bawah Enakmen 1952 yang menyatakan rekod pengenalan diri merupakan bukti penting dan konklusif yang tidak boleh diketepikan semata-mata melalui dakwaan amalan peribadi seseorang.
Tambah beliau, mahkamah turut memutuskan bahawa isu yang dibawa pemohon tidak boleh diterima sebagai tuntutan ‘ab initio’ atau dakwaan bahawa individu berkenaan tidak pernah menganut agama Islam.
“Hakim turut merujuk keseluruhan fakta-fakta dan menyatakan bahawa kes ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan bukan Mahkamah Sivil,” katanya. – KOSMO! ONLINE














