TEHRAN – Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dipindahkan ke tempat perlindungan bawah tanah ketika Tehran berdepan ancaman serangan Amerika Syarikat (AS) yang semakin meningkat.
Perkembangan berlaku ketika pegawai-pegawai kanan tentera memberi amaran peningkatan risiko serangan AS ketika protes berlarutan dan pasukan keselamatan Ali Khamenei terus membunuh rakyat Iran.
Kubu bawah tanah itu dipercayai melindungi Khamenei dalam senario masa perang, manakala anak ketiganya, Masoud mengambil alih pengurusan urusan harian bapanya.
Akhir minggu lalu, Presiden Donald Trump berkata bahawa AS sedang menggerakkan armada kapal perang ke arah Iran dalam tindakan ‘sekadar berjaga-jaga’ sekiranya beliau ingin mengambil tindakan seterusnya.
Terkini, kumpulan gempur diterajui kapal induk USS Abraham Lincoln tiba di perairan Teluk dan sedang menunggu arahan Trump.
Ketegangan kekal tinggi antara Iran dan AS berikutan tindakan keras Tehran terhadap protes yang bermula pada 28 Disember lalu, berpunca daripada kejatuhan mata wang Iran, rial.
Trump telah berulang kali memberi amaran kepada Tehran dan menetapkan dua garisan merah untuk penggunaan kekuatan tentera Washington iaitu pembunuhan penunjuk perasaan dan hukuman mati beramai-ramai terhadap mereka. – AGENSI














