KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan ujian saringan diagnostik bagi menentukan kelayakan kemasukan murid ke tahun satu pada usia enam tahun mulai sesi persekolahan 2027 tidak dilaksanakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kebimbangan ujian berkenaan boleh memberi kesan psikologi serta bersifat diskriminatif terhadap kanak-kanak.
“Cadangan awal baik sebab ada satu sistem penilaian sebelum anak masuk sekolah, tetapi difikirkan nanti jadi diskriminatif. Maknanya ada anak-anak ini nak masuk darjah satu, prasekolah, (dikatakan) tidak layak, dia kurang cerdik dan sebagainya.
“Mungkin ada kesan psikologi. Oleh itu ditiadakan. Itulah cadangan Menteri Pendidikan dan saya setuju ditiadakan dan dipermudahkan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Rahman (Muda-Muar) berhubung kebimbangan murid yang gagal melepasi ujian diagnostik akan tercicir dalam pembelajaran.
Anwar menjelaskan, ketiadaan ujian tersebut tidak bermakna aspek pemantauan diketepikan, sebaliknya peranan guru dan ibu bapa perlu diperkukuh bagi memastikan tahap kesediaan serta perkembangan pembelajaran kanak-kanak dipantau dengan lebih berkesan.
Ujar beliau, pendidikan prasekolah merupakan langkah proaktif kerana ia menyediakan tempoh setahun untuk penilaian dan pemerhatian awal terhadap murid.
Kata beliau, pada masa sama, sistem penilaian kecil tetap akan dilaksanakan di peringkat tahun empat bagi membolehkan intervensi awal dibuat sekurang-kurangnya dua tahun sebelum murid melangkah ke tingkatan satu.
Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan pendekatan berkenaan dan menilai keberkesanannya dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan matlamat utama kerajaan adalah memastikan kanak-kanak berusia enam tahun mendapat ruang pembelajaran yang optimum.
Katanya, walaupun terdapat gesaan kemasukan ke tahun satu pada usia enam tahun ditangguhkan, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam arus pendidikan global apabila 137 negara melaksanakan pendekatan tersebut.
Menurut beliau, kerajaan memperuntukkan tambahan RM800 juta dalam belanjawan tahun ini bagi memenuhi keperluan segera termasuk pengambilan 18,000 guru baharu.
“Anak-anak generasi sekarang tidak seperti dulu. Umumnya mereka jauh lebih pintar, lebih peka. Jangan kita fikir guna tahap pemikiran kita yang lama, memang kita rasa tak boleh. Yang penting, beri pendedahan kepada mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE














