KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pandangan seorang Ahli Parlimen pembangkang berhubung pasaran saham ketika persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menyifatkan pandangan berkenaan sebagai teori ekonomi lapuk dan menegaskan bahawa pasaran saham tidak wajar dicampuri oleh kerajaan.
“Dia bukan teori ekonomi, dia teori ekonomi lapuk sebenarnya. Sebab, Yang Berhormat tanya itu pasaran saham. Mana mungkin kerajaan dan juga sistem ekonomi sekarang campur tangan dalam urusan pasaran saham?,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (PN-Arau) berhubung pasaran saham, nilai ringgit dan harga barang dengan menyifatkan ia sebagai teori ekonomi mudah.
Anwar berkata, pasaran saham adalah kukuh kerana dianggap bebas serta berintegriti dan sebarang campur tangan kerajaan boleh menjejaskan sistem berkenaan.
“Sebaik sahaja kerajaan mulai campur tangan, maknanya sistem itu ‘di-compromise’. Itu yang pertama daripada segi prinsipnya,” jelasnya.
Bagaimanapun, Anwar berkata, daripada sudut makro, usaha untuk menjana pertumbuhan dan kegiatan ekonomi masih boleh diteruskan dalam keterbatasan yang sedia ada.
“Bagaimanapun, daripada segi makro, bagaimana kita boleh menjana pertumbuhan, kegiatan, itu boleh diteruskan dengan keterbatasan yang sedia ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE














