SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sekumpulan penjenayah yang giat menyamun warga asing dengan menyamar sebagai pegawai imigresen selepas menahan dua lelaki tempatan di sekitar Kuala Lumpur, 18 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Superintenden Helmi Aris berkata, penahanan kedua-dua suspek berusia 32 dan 38 tahun itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah,Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT) di dua lokasi berasingan di Bukit Jalil dan Ampang.
Menurutnya, tangkapan ke atas suspek dilakukan selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Ladang Chip Joo, Bukit Tengah, kira-kira pukul 10.30 pagi, 13 Januari lalu.
“Pengadu seorang lelaki Myanmar berumur 44 tahun membuat laporan memaklumkan enam suspek lelaki berpakaian gelap dan memakai pelitup muka dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton X70 telah berhenti di rumahnya.
“Lima lelaki telah masuk ke rumah pengadu dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen. Suspek telah menggeledah rumah pengadu dan kemudiannya bertindak mengacukan sebilah parang dan melarikan pelbagai barangan berharga termasuk barangan kemas, wang tunai serta telefon bimbit dengan anggaran RM4,000,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut berhubung operasi tangkapan, katanya, polis telah merampas sebuah kenderaan jenis Proton X70 berwarna putih dipercayai digunakan suspek semasa kejadian bersama beberapa buah telefon bimbit serta pakaian yang mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
“Semakan rekod mendapati kedua-dua suspek mempunyai kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Hasil ujian air kencing juga mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan kedua-dua tangkapan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada 28 Januari ini,” jelasnya.
Tambah beliau pihaknya kini masih giat menjalankan usaha mengesan empat lagi suspek yang masih bebas. – KOSMO! ONLINE














