NEWCASTLE – Pengurus Aston Villa, Unai Emery enggan menganggap pasukannya sebagai pencabar takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) biarpun hanya dibezakan empat mata dengan pendahulu saingan, Arsenal.
Villa terus mengekalkan momentum terbaik bagi saingan musim ini selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United pada perlawanan yang berlangsung di St. James Park malam kelmarin.
Walaupun pasukan tuan rumah lebih banyak menguasai perlawanan, namun Villa bijak memanfaatkan setiap peluang terhidang apabila menjaringkan gol menerusi Emiliano Buendia dan Ollie Watkins.
“Minggu lepas ketika kami tewas kepada Everton, tidak ada sesiapa yang bertanya saya mengenai takhta kejuaraan tetapi sekarang anda semua cakap bahawa Villa merupakan pencabar gelaran liga.
“Buat masa ini, objektif saya hanya untuk memastikan keseimbangan dalam pasukan dan kami kekal tenang. Jika kami boleh kekalkan aksi seperti ini hingga ke minggu 35, mungkin kenyataan saya lebih berbeza,” kata Emery.
Walaupun dilihat berpeluang untuk mencabar gelaran liga musim ini, namun pengendali dari Sepanyol itu menegaskan, mereka tidak berdepan laluan mudah apabila perlu bersaing dengan pasukan-pasukan hebat yang lain.
“Memang benar kami berdepan cabaran daripada Arsenal, Manchester City, Chelsea dan Liverpool. Kami sentiasa memberikan yang terbaik dan paling penting adalah kami terus mengutip mata,” ujarnya. – AGENSI














