fbpx
CHEGUBARD (kiri) ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini. Foto BAZLAN IBRAHIM

Chegubard bakal bongkar penyelewengan pusat zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dijangka mendedahkan penyelewengan pemimpin tertinggi di kementerian dan pusat zakat sebuah negeri.

Chegubard berkata, beliau sudah mengumpul bukti dan maklumat mengenai salah lalu individu tersebut dan akan membuat laporan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada pukul 3 petang esok.

“Saya akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi menyerahkan bukti yang dikumpul dan memberi keterangan kepada pihak berkuasa. Seperti biasa, kita akan mendedahkan satu demi satu dan akan dimulakan dengan milikan harta, wang simpanan dan sebagainya oleh pemimpin tertinggi sebuah kementerian,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Beliau bersama peguam Muhammad Rafique Rashid Ali hadir ke Mahkamah Tinggi bagi pendengaran semakan jenayah kes permohonan Pendakwa Raya untuk menyemak semula keputusan Hakim Mahkamah Sesyen.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menerima salinan rakaman percakapan polis milik wartawan Bloomberg, Ram Anand berkaitan siasatan kes kasino di Forest City yang menjadi antara isu utama dalam perbicaraan berkenaan.

Menurut Chegubard, beliau berdepan pelbagai bentuk intimidasi termasuk laporan polis di beberapa negeri susulan pendedahan yang dibuat sebelum ini berkaitan rasuah pegawai tinggi dalam pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, beliau tidak pernah serik untuk membuat pendedahan terhadap sebarang kegiatan rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh mana-mana individu dalam institusi kerajaan.

“Saya menyokong titah Yang di-Pertuan Agong dan amanat Perdana Menteri dalam memerangi rasuah, saya cuba usahakan perjuangan ini, yang penting adalah usaha pelaksanaannya.

“Saya bukan penguat kuasa, tetapi pendedahan ini dibuat bagi memastikan tindakan diambil. Jika tiada tekanan awam, saya bimbang isu rasuah dan salah guna kuasa akan terus terkubur,” katanya.

Ditanya mengenai surat tuntutan atau Letter of Demand (LOD) berkaitan pendedahan yang dilakukan sebelum ini, beliau memaklumkan masih belum menerimanya.

“Saya difahamkan terdapat dakwaan beberapa pihak mungkin memfailkan saman atau LOD. Namun, sehingga kini saya belum terima sebarang LOD. Sekiranya ada, pihak berkenaan boleh memaklumkan kepada pejabat peguam saya atau saya boleh hadir sendiri untuk terima,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI