fbpx
TAHUN 2025 menyaksikan peningkatan mendadak pendapatan industri muzik tanah air dengan sebanyak 17.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan pengukuhan kedudukan muzik domestik dalam era digital. 

Catat RM428.3 juta, 2025 era industri muzik paling meledak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Industri muzik tanah air mencatat sejarah baharu apabila meraih pendapatan tertinggi berbanding musim terdahulu dengan jumlah RM428.3 juta sepanjang 2025. 

Angka tersebut menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 17.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan pengukuhan kedudukan muzik domestik dalam era digital. 

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim berkata, masa depan industri ini dilihat sangat cerah, namun memerlukan sinergi yang lebih mantap antara kerajaan dan pemain industri swasta.

Menurut Rosmin, peningkatan penggunaan muzik melalui pelbagai perkhidmatan penstriman merupakan pemangkin utama yang meletakkan industri tempatan pada kedudukan strategik.

“Dengan jangkaan peningkatan penggunaan muzik melalui pelbagai perkhidmatan penstriman serta kerjasama awam dan swasta yang lebih dinamik, industri ini berada pada kedudukan baik untuk terus memperkukuh sumbangannya kepada ekonomi Malaysia dan memperluaskan jejak antarabangsa,” katanya.

Berdasarkan data Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), platform penstriman digital kekal sebagai lubuk emas utama industri diikuti pertumbuhan kukuh kutipan Pertubuhan Pengurusan Kolektif (Collective Management Organisations, CMO).

Menerusi data, lagu Menjaga Jodoh Orang Lain nyanyian Ara Johari dinobatkan sebagai Lagu Domestik Paling Tinggi Distrim manakala kumpulan Insomniacks mengekalkan takhta sebagai Artis Domestik Paling Tinggi Distrim. 

Bagi kategori antarabangsa, fenomena Taylor Swift dan kolaborasi Lady Gaga bersama Bruno Mars menerusi Die With A Smile terus menjadi pilihan utama pendengar di Malaysia.

Tahun 2025 turut menyaksikan artis tempatan terbang lebih tinggi menerusi kerjasama strategik seperti Ernie Zakri, Dolla, Insomniacks dan JessC. 

Sokongan padu Kementerian Komunikasi bawah Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM700,000 memberi nafas baharu kepada kualiti produksi tempatan. 

RIM, melalui kerjasama dengan Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, turut melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berterusan terhadap pelanggaran hak cipta yang melibatkan premis hiburan, penjual di platform e-dagang serta laman web haram. 

Tindakan anti-cetak rompak yang konsisten menyumbang kepada peningkatan pendapatan industri muzik tempatan.

Dayang Nurfaizah, Aina Abdul dan Hazama merupakan antara penerima dana yang berjaya menghasilkan karya bermutu tinggi sehingga mendominasi pencalonan akhir AIM24.

Di sebalik kejayaan ini, RIM menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan pesat Kecerdasan Buatan (AI) yang menggunakan muzik berhak cipta tanpa kebenaran.

Dalam masa sama, RIM menggesa agar pembangun AI mendapat kebenaran pemilik hak cipta sebelum melatih model, label yang jelas diletakkan pada kandungan muzik jana-AI dan tempoh perlindungan hak cipta rakaman bunyi dilanjutkan kepada 70 tahun bagi menyamai piawaian antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN