SEMENYIH – Lebih 100 negara di dunia sudah memulakan persekolahan sejak awal usia enam tahun, menyebabkan Malaysia tidak boleh ke belakang dalam soal pendidikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memberi jaminan akan memastikan tiada anak-anak berusia enam tahun sama ada di bandar mahupun luar bandar ketinggalan bagi mendapatkan peluang pendidikan tersebut.
“Tahun 2026, tak boleh ke belakang. Masuk umur lima tahun, daftar prasekolah. Darjah satu, enam tahun. Biarlah dua, tiga orang merengek, tak sedia lah, belum matang lah, masih minum susu, tak apa lah.
“Ini negara bebas, orang boleh bicara. Tapi lebih 100 negara yang mula persekolahan umur enam tahun, kenapa kita harus ke belakang?
“Kita harus maju ke depan. Ya, ada masalah. Siapa kata tak ada masalah? Tapi kita cuba selesaikan, ini harus kita ambil pendekatan positif,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih di Kampung Sungai Pening di sini hari ini.
Anwar berkata, bagi memastikan anak-anak berusia enam tahun tidak keciciran pendidikan sekolah rendah, semua pihak yang terlibat dikerahkan menjalankan tanggungjawab dalam memastikan persekolahan mereka.
“Jangan ketinggalan. Ada yang kata, orang Melayu di kampung akan ketinggalan. Kerahkan jawatan kuasa, ketua kampung, masa ini lah gerakkan. Jangan ada rakyat kita sama ada di bandar, kota atau desa, Cina, Melayu.
“Semua kerahkan untuk menfaat kemudahan ini. Kita tak mampu wajibkan tahun ini, kalau ikut saya, saya nak wajibkan. Tapi Kementerian Pendidikan kata sabar,” katanya.
Beliau turut meminta kerjasama ibu bapa yang terlibat bagi memastikan persekolahan anak-anak mereka dalam usia berkenaan.
“Saya harap ibu bapa beri kerjasama, galakan. Kalau tak, kita gaduh. Tumpu mutu dan kualiti pendidikan. Negara ni kalau nak angkat martabat dan maju, mutu pendidikan dibaiki,” katanya.
Terdahulu, kerajaan menggalakkan kanak-kanak berusia enam tahun untuk memulakan persekolahan dengan memasuki darjah satu bermula tahun depan.
Perkara itu diumumkan Anwar Ibrahim pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Putrajaya, baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE














