KUALA KUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya melumpuhkan sebanyak 270 sindiket dadah dengan menahan 737 ahli sepanjang 2025 berbanding 236 sindiket dan 714 tangkapan tahun sebelumnya.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, kejayaan pembongkaran premis pemprosesan haram turut menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 55 makmal berjaya dibongkar berbanding 44 premis pada 2024.
“Pencapaian luar biasa turut dicatat dalam aspek rampasan, di mana nilai keseluruhan rampasan dadah dan racun kira-kira RM3.19 bilion. Jumlah ini hampir lapan kali ganda lebih tinggi berbanding RM388 juta yang dirampas pada tahun sebelumnya,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara anjuran JSJN di Bukit Aman, di sini hari ini.
Mohd. Khalid berkata, peningkatan mendadak itu bukan sahaja menggambarkan skala aktiviti pengedaran dadah yang semakin agresif, malah turut membuktikan keberkesanan JSJN dalam menyekat bekalan dadah.
Katanya, dalam usaha melumpuhkan kekuatan kewangan sindiket, JSJN juga berjaya menyita aset bernilai kira-kira RM144 juta dan melucuthakkan harta hampir RM31 juta sepanjang 2025.
Ujarnya, dalam aspek penguatkuasaan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, jumlah tangkapan menurun 27 peratus daripada 811 kepada 1,111 pada 2024.
Jelasnya, penurunan itu mencerminkan keberkesanan pendekatan pencegahan JSJN serta kejayaan melumpuhkan sindiket-sindiket utama yang menjadi penyumbang besar tangkapan di bawah peruntukan tersebut.
“Secara tuntasnya, data berkenaan jelas mempamerkan komitmen dan keberkesanan operasi serta risikan JSJN dalam memerangi ancaman dadah.
“Kejayaan-kejayaan ini bukan sahaja menunjukkan peningkatan kapasiti operasi dan risikan, malah membuktikan usaha berterusan dalam melindungi generasi masa kini dan akan datang daripada cengkaman dadah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














