fbpx
Tun Dr. Mahathir

RCI Batu Puteh: Pendengaran Rayuan Tun M ditangguh ke tarikh lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Rayuan Tun Dr. Mahathir Mohamad agar beliau dan peguamnya dibenar hadir dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan ditangguhkan di Mahkamah Rayuan di sini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali ketika dihubungi media hari ini.

Menurut peguam itu, pihaknya memohon penangguhan atas alasan Zainur Zakaria yang merupakan salah seorang peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri, menjalani prosedur `endovascular aneurysm repair’ baru-baru ini.

“Peguam tersebut sedang berehat selepas menjalani prosedur berkenaan. Kami memohon penangguhan pada Khamis lalu selepas dimaklumkan bahawa pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) tiada bantahan.

“Kes ini ditetapkan untuk pengurusan kes secara e-review pada 6 Februari ini untuk menetapkan tarikh pendengaran rayuan yang baharu,” katanya.

Hari ini Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar rayuan Dr. Mahathir, 100, terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh pada 13 Januari tahun lalu yang menolak semakan kehakiman untuk hadir pada prosiding berkenaan.

Pada prosiding terdahulu, Dr. Mahathir diwakili kedua-dua peguam tersebut manakala kerajaan selaku responden dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan Nur Hafizza Azizan.

Pada 13 Januari 2025, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman difailkan Dr. Mahathir Mohamad untuk membolehkan beliau dan peguamnya hadir sepanjang prosiding RCI berkenaan.

Pada 12 Jun 2024, bekas Perdana Menteri itu memberi keterangan dalam prosiding RCI yang dijalankan secara tertutup, dan RCI telah menyahklasifikasikan laporannya yang dikeluarkan pada 5 Disember 2024.

Laporan RCI antaranya berpendapat bahawa Dr. Mahathir berkemungkinan dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan berkaitan, walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas dan kebarangkalian permohonan tersebut untuk berjaya.

Dua permohonan itu adalah bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ada 23 Mei 2008 yang memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu, adalah milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Dalam laporan setebal 217 muka surat, RCI turut mengesyorkan agar siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan, dan beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.

Dr.Mahathir memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 5 Jun 2024, menamakan lapan responden termasuk Pengerusi RCI Tun Md Raus Sharif dan mendakwa beliau tidak dibenarkan untuk diwakili peguam pilihannya pada prosiding RCI, selain mendakwa beliau mempunyai hak untuk diwakili peguam pilihan dalam siasatan berkenaan.

Dr. Mahathir memohon satu perisytiharan bahawa beliau adalah individu yang menjadi perkara dalam siasatan RCI, atau terbabit dengan perkara yang sedang disiasat oleh suruhanjaya, justeru beliau memohon perintah mandamus untuk membenarkannya dan peguam hadir sepanjang prosiding RCI. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI