fbpx
Salah sebuah hotel dipercayai milik suspek yang disita SPRM bagi membantu siasatan baru-baru ini.

Rasuah TLDM: 21 akaun bank, aset RM2 juta disita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah membekukan sebanyak 21 akaun bank dengan anggaran nilai RM700,000 selain menyita aset bernilai RM2 juta susulan siasatan rasuah melibatkan seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurut sumber, pembekuan bank itu melibatkan tujuh akaun syarikat dan 14 akaun perbankan milik beberapa individu susulan siasatan ke atas syarikat dipercayai terlibat rasuah bagi mengesyor dan melantik syarikat kroni pegawai terbabit.

Tambah sumber, siasatan yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM itu turut menyita dua buah hotel milik pegawai kanan TLDM tersebut bernilai kira-kira RM2 juta.

“Setakat ini SPRM turut membuat semakan ke atas beberapa syarikat dengan Jabatan Akauntan Negara sama ada terdapat tender atau sebut harga oleh syarikat-syarikat berkenaan.

“Pada masa ini SPRM sedang mengesan aset-aset lain yang dimiliki oleh suspek dan turut mengesan pemilik-pemilik syarikat yang bersekongkol dengan suspek,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, sehingga hari ini SPRM telah merakam percakapan tujuh individu yang disyaki terlibat dalam kes tersebut.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan SPRM menahan reman seorang pegawai kanan TLDM
kerana disyaki terlibat rasuah bagi mengesyor dan melantik syarikat kroni mendapatkan kerja-kerja di tempat pegawai kanan tersebut bekerja.

Turut ditahan reman selama tujuh hari ialah seorang pengarah syarikat selepas Majistret A. Hafiizh Abu Bakar mengeluarkan perintah itu susulan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak baru-baru ini.

Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan pegawai kanan TLDM disyaki memiliki harta melebihi jumlah emolumen yang diterima.

Ia seperti pemilikan kira-kira lapan aset tidak alih terdiri daripada tiga buah rumah, tiga buah rumah kedai dan dua buah hotel yang didaftarkan atas nama beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN