fbpx
Zulkifli berucap semasa Majlis Penyerahan Biasiswa Pelajar Cemerlang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Menara MAIWP hari ini.

Penerima biasiswa jangan khianati amanah pembayar zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelajar penerima biasiswa zakat diingatkan supaya tidak mengkhianati amanah pembayar zakat dengan mensia-siakan peluang pendidikan yang diberikan, sebaliknya perlu memanfaatkan bantuan tersebut untuk mencapai kecemerlangan akademik dan sahsiah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, setiap ringgit zakat yang disalurkan adalah hasil kepercayaan masyarakat dan kegagalan pelajar menunaikan tanggungjawab sebagai penerima merupakan satu pengkhianatan terhadap amanah tersebut.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Biasiswa Pelajar Cemerlang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Menara MAIWP hari ini.

Menurutnya, kos pembiayaan pengajian khususnya di luar negara adalah sangat tinggi dan kegagalan menamatkan pengajian atau mencapai prestasi sepatutnya bukan sahaja merugikan diri sendiri, malah meruntuhkan kepercayaan pembayar zakat.

“Saya sendiri pernah melalui pengalaman melanjutkan pengajian doktor falsafah di luar negara. Perkara yang paling saya risaukan ketika itu ialah bagaimana hendak mempertanggungjawabkan wang yang dibelanjakan sekiranya saya gagal,” katanya.

Beliau menegaskan, pendidikan merupakan instrumen paling penting dalam melakukan perubahan, justeru pelajar perlu meletakkan ilmu sebagai keutamaan serta berusaha bersungguh-sungguh demi masa depan diri, keluarga dan ummah.

Zulkifli turut mengingatkan pelajar agar membina kekuatan dalaman yang seimbang meliputi idealisme hidup yang jelas, penguasaan ilmu, keterlibatan bersama masyarakat serta kekuatan rohani bagi membentuk jati diri yang kukuh.

Katanya, generasi muda yang berilmu tetapi tidak berakhlak dan tidak berkhidmat kepada masyarakat akan melahirkan individu yang sombong serta menjejaskan tujuan sebenar pendidikan yang dibiayai melalui zakat.

Dalam masa sama, beliau memuji pengurusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang berintegriti dan telus, termasuk pencapaian tadbir urus yang baik serta peningkatan kutipan zakat hasil keyakinan masyarakat.

Sementara itu, Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, pendidikan dan latihan merupakan kunci utama untuk memutuskan kitaran kemiskinan dalam kalangan keluarga asnaf.

Menurutnya, MAIWP mengendalikan 11 institusi pendidikan merangkumi peringkat sekolah hingga universiti sebagai usaha berterusan membantu anak-anak asnaf keluar daripada belenggu kemiskinan melalui pendidikan berkualiti.

Beliau menjelaskan, bantuan biasiswa yang disalurkan merangkumi pembiayaan yuran pengajian, makan minum, keperluan pembelajaran serta pembiayaan penuh termasuk tiket penerbangan bagi pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negara.

“Bantuan ini diharap dapat meringankan beban kewangan pelajar, selain menjadi pemangkin semangat untuk mereka berusaha mencapai kejayaan dan seterusnya mengubah taraf hidup keluarga,” katanya.

Untuk rekod, MAIWP menyalurkan RM6.71 juta kepada 169 mahasiswa dan pelajar sekolah, manakala secara keseluruhan hampir RM119.7 juta telah diagihkan di bawah Kluster Pendidikan sepanjang tahun 2025 bagi memastikan akses pendidikan yang menyeluruh dan berimpak tinggi kepada golongan asnaf.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI