PETALING JAYA – Pendaftaran bagi peserta awam yang berminat menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 kini dibuka kepada orang ramai.
Menerusi hantaran di media sosial, Sumud Nusantara Official, penganjur memaklumkan individu yang mempunyai pengalaman relevan serta kelapangan masa dialu-alukan untuk menyertai pasukan berkenaan bagi menjayakan misi kemanusiaan tersebut.
Menurut hantaran itu, penyertaan terbuka kepada mereka yang benar-benar komited dan bersedia memberi sumbangan tenaga serta kepakaran dalam usaha membantu masyarakat yang memerlukan.
“Sekiranya anda mempunyai pengalaman yang relevan serta kelapangan masa, kami amat mengalu-alukan penyertaan anda dalam pasukan kami,” jelas kenyataan tersebut.
Jelasnya, orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta mendaftar penyertaan melalui pautan yang disediakan di ruangan bio akaun rasmi penganjur.
Global Sumud Flotilla 2.0 merupakan inisiatif kemanusiaan yang bertujuan menyalurkan bantuan serta meningkatkan kesedaran antarabangsa terhadap isu kemanusiaan sejagat selain magu menembusi sekatan laut Israel terhadap Gaza.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Kerajaan Madani akan terlibat secara langsung dalam misi GSF 2.0 yang bakal membabitkan penyertaan lebih 80 negara.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan dilaporkan berkata, misi kali ini dirancang lebih besar, melibatkan lebih ramai peserta dan banyak bot.
“Mereka ingin penyertaan yang lebih inklusif merangkumi pelbagai agama, bangsa, selebriti dan pelbagai kategori lapisan masyarakat,” katanya.














