SUNGAI PETANI – Seorang lelaki yang juga pekerja kantin melecur 11 peratus pada bahagian muka, leher dan dada akibat disimbah asid dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Jeniang, dekat sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3.15 pagi, Jumaat lalu.
“Seorang wanita memaklumkan mangsa telah disimbah asid oleh seorang lelaki ketika berada di sebuah stesen minyak.
“Suspek berusia 36 tahun berjaya ditahan awal pagi ini dan akan dibawa ke mahkamah bagi proses reman,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu.
“Mangsa yang juga berusia 36 tahun masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














