BOLOGNA – Walaupun ramai beranggapan wujud konflik dalaman dan ketegangan serius dalam kem Ducati, Marc Marquez sebaliknya dikatakan bertindak sebagai ‘pelindung’ kepada Francesco Bagnaia yang berdepan detik sukar sepanjang saingan MotoGP musim lalu.
Pengurus Pasukan Ducati, Davide Tardozzi mendedahkan tindakan Marquez itu satu sikap murni yang jarang dilihat dalam dunia perlumbaan kompetitif, sekali gus menepis dakwaan bahawa wujud permusuhan peribadi antara dua jaguh tersebut.
Musim 2025 menyaksikan kebangkitan luar biasa Marquez mendominasi perlumbaan menerusi 11 kemenangan Grand Prix, manakala Bagnaia yang juga juara dunia dua kali bergelut dengan prestasi tidak menentu serta kesukaran mengendalikan jentera GP25.
“Percayalah apabila saya katakan ketika Pecco (Bagnaia) menghadapi kesukaran, Marc (Marquez) memberitahu untuk tidak melakukan perkara tertentu agar tidak mengganggunya.
“Dia (Marquez) bimbang akan mengusik ketenangan Pecco (Bagnaia) walaupun dia sendiri sedang beraksi cemerlang ketika itu.
“Saya tidak pernah melihat sikap sebegitu daripada pelumba lain. Ia satu tindakan membantu dan melindungi Pecco, malah cuba meredakan keghairahan terhadap kemenangannya sendiri. Pada pendapat saya, ini sifat orang yang sangat baik,” kata Tardozzi.
Dalam masa sama, Tardozzi menegaskan fokus utama Ducati untuk memastikan Marquez kekal bersama pasukan itu menjelang perubahan peraturan baharu pada 2027.
Kedudukan Bagnaia yang kontraknya bakal tamat pada penghujung 2026, sebahagian besarnya bergantung kepada keputusan yang bakal diambil oleh Marquez.
“Keutamaan kami adalah memperbaharui kontrak Marc. Sebaik sahaja kami tahu sama ada Marc kekal atau tidak, barulah kami akan memikirkan mengenai pelumba lain.
“Apa yang jelas, jika Marquez memutuskan untuk pergi, keutamaan seterusnya adalah menyambung khidmat Bagnaia,” jelasnya. – AGENSI














