Saudara Pengarang,
Saya ingin menyentuh mengenai fungsi pembinaan bonggol di jalan raya terutama di kawasan perumahan, berhampiran sekolah dan di simpang-simpang yang berisiko tinggi berlaku kemalangan.
Tujuan pembinaan bonggol ini adalah untuk memperlahankan pergerakan kenderaan dan memberi ruang serta peluang selamat kepada pengguna jalan raya lain yang ingin keluar dari simpang.
Namun begitu, terdapat pemandu yang bertindak menekan pedal minyak dengan lebih kuat sebaik sahaja menghampiri bonggol.
Tindakan itu sebenarnya meningkatkan risiko merempuh kenderaan lain yang mahu keluar dari simpang.
Bonggol bukan sekadar halangan fizikal di atas jalan, tetapi satu isyarat keselamatan yang menuntut pemandu memperlahankan kenderaan, lebih berhati-hati dan bertimbang rasa terhadap orang lain.
Ia adalah peringatan bahawa kawasan tersebut berisiko dan memerlukan tahap kepekaan yang lebih tinggi.
Selagi ada pemandu yang terus memecut dan mengabaikan fungsinya, selagi itulah risiko kemalangan akan berterusan.
Karim
Saujana Utama














