KOTA TINGGI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan telah mengambil tindakan segera dengan hadir ke Kampung Orang Asli Sayong Pinang di sini untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca pencemaran yang didakwa berlaku di Ulu Sungai Johor semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim berkata, pihaknya telah menerima aduan berkenaan pencemaran itu pagi semalam sebelum meminta pihak berwajib melakukan tindakan segera.
“Saya telah meminta pihak JAS serta Jabatan Perikanan untuk menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti punca pencemaran dan tahap kesannya terhadap alam sekitar serta sumber perikanan setempat.
“Oleh itu satu pemeriksaan telah dijalankan oleh JAS kira-kira pukul 3.15 petang. Pasukan JAS telah tiba di jeti Kampung Orang Asli Sayong Pinang dan mendapati air sungai memang berwarna gelap kehitaman.
“Wakil penduduk telah ditemui bagi mendapatkan maklumat lanjut di mana kejadian disedari sekitar pukul 10 pagi dan setakat pemeriksaan dibuat, tiada ikan mati dikesan sama ada di sungai mahupun di sangkar milik penduduk,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Katanya, penduduk turut memaklumkan aliran air dipercayai berpunca dari arah Penggeli dan susulan itu ujian kualiti air turut dijalankan oleh pihak JAS di lokasi.
Menurutnya, siasatan kemudiannya diteruskan ke kilang sawit Penggeli dan hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang pelepasan efluen berlaku.-KOSMO! ONLINE














