PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa kesal selepas penjaga taska didakwa memberi makanan kepada bayi berusia kurang enam bulan dalam keadaan baring.
Hantaran di Threads, penjaga taska itu juga cuba menormalisasi tindakan memberi makan kepada bayi dalam keadaan baring seperti menyusu.
“Untuk sebulan pertama, lebih baik ibu bagi puri (perahan) buah dulu. Kalau boleh setiap tiga hari, menu bertukar untuk periksa bayi ada alergi atau tak,” katanya.
Difahamkan, penjaga taska turut memberi nasihat perancangan pemakanan bayi, sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan ramai.
“Kadang-kadang geram. Orang dah elok-elok buat perancangan makanan bayi tapi dia pula nak mengajar kita. Bayi dah seminggu makan elok sahaja.
“Kita bukannya jenis cerewet, tapi dah orang buat perancangan, ikut sajalah. Memang tak bagi bayi buah sebab tak nak kenalkan dengan makanan manis.
“Kita bagi terus makanan lengkap ikut nasihat klinik kesihatan. Sebelum bagi, kita dah cuba di rumah, bayi ada alergi atau tidak,” katanya.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi netizen termasuk rata-rata menasihatkan wanita berkenaan untuk menukar penjaga taska.
“Tukar taska, anak rakan kerja saya tersedak masa makan sebab makan sebab baring. Esoknya demam dan kena sawan,” komen @Nourulnadhieya.
“Ada sebab kenapa umur sesuai bayi makan enam bulan. Sebab umur enam bulan, bayi dah pandai duduk. Kenapa sampai nak bagi makan waktu baring?,” komen @Fairuzaliah. –KOSMO! ONLINE














