fbpx
Ramanan ketika berucap di Majlis Pelancaran Kampus Rakan Grab di Petaling Jaya hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

Harga lantai upah rider perlu seimbang, elak bebankan platform – Ramanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan belum bercadang menetapkan satu kadar harga lantai tetap bagi setiap perjalanan rider kerana bimbang langkah itu boleh menjejaskan kelangsungan perniagaan platform e-hailing dan p-hailing, sekali gus memberi kesan kepada peluang pekerjaan golongan pekerja gig.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, penetapan harga lantai secara seragam tidak praktikal memandangkan struktur kos dan tahap keuntungan setiap platform adalah berbeza.

“Kalau kita paksa semua platform guna satu kadar yang tetap, bagaimana pula dengan platform yang tidak mencatat keuntungan? Akhirnya mereka tidak mampu menampung kos operasi dan ini boleh menyebabkan peluang pekerjaan hilang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatan ke Kampus Rakan Grab Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Ramanan, kerajaan mengambil pendekatan seimbang dalam melindungi kebajikan pekerja gig tanpa menekan majikan secara berlebihan.

“Memang popular untuk hanya lihat kepentingan pekerja, tetapi kerajaan mesti ada keseimbangan. Kalau kita terlalu menekan majikan, akhirnya mereka tidak mampu beri pekerjaan dan pekerja akan hilang sumber pendapatan,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerajaan tetap menggunakan dasar gaji minimum sebagai penanda aras perlindungan pendapatan.

“Pendapatan minimum telah diselaraskan pada RM1,700. Itu dasar kerajaan. Tetapi pengendalian kadar bayaran rider (penghantar) berada di bawah platform masing-masing selagi mematuhi akta dan undang-undang sedia ada,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ramanan berkata Akta Pekerja Gig dijangka dikuatkuasakan sepenuhnya selewat-lewatnya hujung Mac 2026, termasuk penubuhan majlis perundingan dan tribunal khas.

“Akta ini memberi jaminan penting kepada pekerja gig termasuk pembayaran dalam tempoh tujuh hari serta perlindungan jika berlaku kemalangan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan juga akan meneruskan libat urus bersama pemain industri dan pekerja walaupun selepas akta berkenaan dikuatkuasakan.

“Ada perkara yang hanya dapat dilihat selepas akta ini diguna pakai. Sebab itu libat urus dengan pihak berkepentingan akan dibuat secara berterusan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan tidak menolak untuk meneliti semula mekanisme kawal selia termasuk isu pendapatan dan struktur bayaran sekiranya timbul kelemahan selepas pelaksanaan akta tersebut.

“Tiada undang-undang yang sempurna 100 peratus. Jika ada isu walaupun kecil, kerajaan akan perhalusi dan buat penambahbaikan,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Presiden Malaysia E-Hailing & Delivery Organization (MEDO), Masrizal Mahidin berkata, penilaian terhadap kadar bayaran semasa amat subjektif kerana setiap platform p-hailing menggunakan algoritma tersendiri tanpa sebarang piawaian atau kawal selia khusus daripada kerajaan.

Menurutnya, ketiadaan ketelusan algoritma serta garis panduan kadar minimum menyebabkan sukar untuk menentukan sama ada bayaran yang diterima rider benar-benar munasabah.

“Selagi tiada mekanisme kawal selia, ketelusan algoritma dan kadar minimum yang adil diperkenalkan, isu kadar bayaran ini akan terus menjadi rungutan berpanjangan dalam kalangan rider,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN