BARCELONA – Penasihat Eksekutif Alpine, Flavio Briatore menyifatkan pelumba muda Argentina, Franco Colapinto kini tampil dengan perwatakan yang jauh lebih matang dan bersedia sepenuhnya untuk mengharungi saingan Formula Satu (F1) musim 2026.
Briatore menegaskan, pelumba itu tidak lagi kelihatan seperti ‘kanak-kanak’ seperti tahun lalu, di mana dia bergelut dengan prestasi tanpa sebarang mata selepas menggantikan Jack Doohan pada pertengahan musim 2025.
Jelas Briatore, walaupun Colapinto mempunyai kepantasan perlumbaan setara dengan rakan sepasukan lebih berpengalaman, Pierre Gasly, namun kelemahannya terletak pada sesi kelayakan yang sering dipengaruhi emosi.
“Tahun ini anda lihat wajah Franco (Colapinto) jauh lebih matang. Dia bukan lagi seperti budak kecil yang kami ada tahun lalu.
“Masalah utama Franco adalah sesi kelayakan. Dia hanya perlu memandu jentera dan menghadapi kelayakan menggunakan bakat semula jadinya, bukan memandu secara beremosi.
“Kami telah meluangkan banyak masa bersamanya di simulator sepanjang musim sejuk ini. Dia sedang berkembang dan kami telah melakukan segala yang termampu,” katanya.
Statistik musim lalu menyaksikan Colapinto tewas 5-17 kepada Gasly dalam pertarungan kelayakan, satu aspek yang perlu diperbaiki segera jika Alpine mahu bangkit daripada kedudukan tercorot dalam kejuaraan pengeluar 2025.
Sementara itu, Colapinto yang bakal mengharungi musim penuh pertamanya di F1, senada dengan bosnya dan mengakui tiada lagi ruang untuk ujikaji.
Dengan perubahan unit kuasa dan peraturan baharu 2026, dia bertekad untuk menterjemahkan kerja keras pasukan kepada keputusan positif di litar.
“Sebagai satu pasukan, tiada lagi alasan. Unit kuasa telah berubah dan peraturan juga berubah. Sekarang kami perlu bekerja keras dan pamerkan prestasi.
“Tahun lalu kami fokus kepada 2026 dan kini 2026 sudah tiba. Tiba masanya mendapatkan keputusan yang layak untuk pasukan,” ujar Colapinto. – AGENSI














