PETALING JAYA – Seorang pengguna pengangkutan awam meluahkan rasa tidak puas hati apabila terdapat kesan tumpahan air di dalam tren transit aliran ringan (LRT).
Menerusi perkongsian di Threads oleh @ariffin1297, lelaki itu meluahkan rasa berang terhadap sikap segelintir penumpang yang membawa minuman walaupun larangan membawa makanan dan minuman jelas dipaparkan dalam pengangkutan awam.
“Sebab itu air tidak dibenarkan bawa masuk ke pengangkutan awam. Sudah tumpah macam ni, nak lap macam mana? Guna baju kau ke?,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-rata turut berang dengan kesan tumpahan air yang mengganggu keselesaan penumpang lain.
“Yang mana degil-degil macam ni, denda macam orang yang suka buang sampah atau beri mop, biar dia bersihkan sendiri, baru ada akal,” komen Wan Mohamad.
“Sepatutnya ada konduktor yang pantau mereka ni. Almaklumlah banyak rakyat Malaysia yang tidak pandai membaca, buta huruf. Risau bulan puasa nanti makin ramai mereka ni,” kata Hidayati.
“Peraturan dia mudah saja sebenarnya, tetapi bila ditegur kita pula yang kena,” komen Zaki Bakar. – KOSMO! ONLINE














