PETALING JAYA – IOI Properties Group Berhad (IOIPG) baru-baru ini melancarkan Burwood, fasa kediaman bertanah terbaharu di perbandaran 16 Sierra, Puchong Selatan yang menawarkan 102 unit rumah berkembar dua tingkat bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap kediaman bersepadu dan hijau.
Dibangunkan di atas tanah seluas 11.6 ekar, Burwood dengan nilai pembangunan kasar RM208 juta menampilkan dua koleksi utama, iaitu The Collections yang mempunyai 92 unit kediaman dan The Edition dengan 10 unit vila bersaiz lebih besar.
Setiap unit memiliki sehingga 5+1 dan 6+1 bilik tidur, lengkap dengan taman peribadi selebar sekurang-kurangnya 10 kaki. Reka bentuk siling setinggi 12 kaki di kedua-dua tingkat menambah keselesaan dan pengudaraan.
Burwood juga menampilkan kemudahan moden dan keselamatan termasuk sistem rumah pintar, penggunaan air panas berkuasa solar, kunci digital, sistem penuaian air hujan, serta pemantauan CCTV di seluruh kawasan pembangunan berpagar dan berpengawal. Anjung kereta yang luas juga mampu menampung sehingga enam kenderaan bagi setiap unit.
Ketua Unit Perniagaan 16 Sierra, Kota Warisan dan Salak Tinggi, Calvin Sew berkata, Burwood mencatat kadar pengambilan mengalakkan melebihi 65 peratus.
“Sambutan pasaran menunjukkan minat tinggi terhadap kediaman bertanah terancang di Puchong Selatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pelancaran Burwood melengkapkan rangkaian pembangunan terdahulu di 16 Sierra termasuk COVO, pembangunan berorientasikan transit (TOD) pertama di perbandaran tersebut, Aster yang menampilkan rumah teres dua tingkat, serta Oakleaf, rumah bandar tiga tingkat.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Pembangunan Hartanah (Malaysia), Teh Chin Guan berkata, 16 Sierra kini menempatkan kira-kira 12,000 penduduk selepas 16 tahun dibangunkan.
“Jumlah ini dijangka meningkat sekitar 2,500 orang menjelang 2027 dengan siapnya tiga projek utama dalam masa terdekat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














