fbpx
KANE mengakui dia dan rakan sepasukan gagal memberikan aksi terbaik pada perlawanan menentang Augsburg menyebabkan mereka berdepan hukuman. - AFP

Bundesliga: Impian ‘invincible’ Bayern akhirnya lebur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUNICH – Bayern Munich berdepan kejutan apabila mengalami kekalahan pertama dalam saingan Bundesliga sejak Mac tahun lalu apabila tewas mengejut 1-2 kepada Augsburg pada aksi di Allianz Arena awal pagi semalam.

Keputusan itu menyaksikan rekod kebal Bayern dalam 27 perlawanan untuk aksi domestik akhirnya lebur biarpun ia tidak menggugat kedudukan mereka selaku pendahulu ketika ini dengan kelebihan lapan mata di persada liga.

Penyerang Bayern, Harry Kane mengakui pasukan berdepan kekalahan tersebut selepas gagal beraksi dengan baik dan kehilangan tenaga menyebabkan mereka dihukum oleh Ausgburg biarpun berjaya mendahului perlawanan menerusi jaringan Hiroki Ito.

Augsburg yang berada di kedudukan pasukan lima tercorot berjaya bangkit pada babak kedua apabila meledak gol menerusi Arthur Chaves dan Han-Noah Massengo dalam tempoh lima minit bermula minit ke-77 untuk mengecewakan skuad kendalian Vincent Kompany itu.

“Kami kehilangan tenaga, pergerakan bersama bola tidak begitu lancar dan saya memberikan kredit kepada Augsburg apabila mereka berjaya meningkatkan tekanan selepas melihat kami berdepan kesukaran,” katanya.

Keputusan itu menyaksikan Bayern gagal mengatasi rekod Bayer Leverkusen yang mengharungi musim 2023/24 tanpa sebarang kekalahan, namun Kane mengakui rekod ‘invincible’ bukanlah pencapaian yang berada dalam senarai impiannya.

“Saya tidak fikir kami pernah bercakap mengenai ‘invincible’, terutama daripada jurulatih sendiri. Sasaran kami adalah memenangi gelaran Bundesliga. Sudah tentu akan ada perbincangan mengenainya apabila anda berjaya mengharungi tempoh tertentu tanpa kekalahan.

“Apa yang berlaku kali ini jelas, kami tidak mampu untuk memberikan 100 peratus dalam perlawanan menyebabkan kami dihukum, tidak kira di tempat sendiri atau gelanggang lawan. Ini memberikan kami pengajaran bermakna,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN