ALOR SETAR – Seorang lelaki dari Aceh, Indonesia didenda RM300 dan diarah menjalani perintah khidmat masyarakat selama enam jam oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan membuang puntung rokok pada 1 Januari lalu.
Jufri Zulkifli, 39, selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Dia juga diperintah untuk dipenjara selama tiga bulan, jika tidak membayar denda dikenakan, selain perlu menjalani khidmat masyarakat selama enam jam dalam tempoh dua bulan dengan pelaksanaan satu jam sehari.
Jufri yang merupakan buruh binaan membayar denda dikenakan.
Ia merupakan pertuduhan pertama di Kedah bagi kesalahan membuang sampah kecil yang melibatkan pelaksanaan perintah khidmat masyarakat.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membuang puntung rokok di tempat awam iaitu di sekitar Menara Alor Setar kira-kira pukul 12.10 tengah malam, 1 Januari lepas.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan boleh dihukum di bawah subseksyen 77A(2) dan sebagai tambahan boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat di bawah subseksyen 77B(1) akta sama.
Kesalahan itu memperuntukkan denda tidak lebih RM2,000 dan boleh sebagai tambahan kepada denda iaitu membuat perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam secara agregat dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dan selama bilangan jam tertentu setiap hari tidak melebihi empat jam, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Nur Idayu Syazwani Mohd. Arif, manakala OKS tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, warga asing terbabit merayu hukuman ringan memandangkan dia perlu menanggung tiga anak dan ibu.
“Saya buat kerja kuli bangunan sahaja dan kerja tidak menentu dengan pendapatan RM80 sehari,” katanya.
Pihak pendakwaan seterusnya memohon hukuman setimpal dikenakan kepada OKS. – KOSMO! ONLINE














