KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan membuat dua laporan polis berhubung dakwaan pendedahan dokumen sulit serta penyebaran kenyataan tidak benar yang dikaitkan dengan dirinya.
Peguam yang mewakilinya, Aizul Rohan Anuar berkata, laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira pukul 1 petang tadi oleh Muhammad Hafizuddeain yang tiba di balai berkenaan sekitar pukul 12.30 tengah hari.
Menurut Aizul, laporan pertama berkaitan pendedahan dan penyebaran dokumen yang bersifat sulit dan dilindungi, termasuk penyata akaun bank milik anak guamnya serta beberapa dokumen Angkatan Tentera Malaysia yang diklasifikasikan sebagai rahsia.
“Penyata akaun bank adalah dokumen yang dilindungi di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan tidak sepatutnya didedahkan kepada pihak awam tanpa kebenaran.
“Setakat ini, kami tidak mengetahui bagaimana dokumen tersebut boleh tersebar, termasuk sama ada melibatkan institusi perbankan. Justeru, laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, laporan kedua pula dibuat susulan penyebaran kenyataan tidak benar dan bersifat fitnah oleh pihak tertentu, termasuk dakwaan kononnya Muhammad Hafizuddeain memakai jam tangan mewah ketika pertuduhan di mahkamah.
Jelasnya, dakwaan itu tidak berasas kerana jam tangan berkenaan bukan berjenama komersial, sebaliknya merupakan jam rasmi yang dikeluarkan oleh Angkatan Tentera Malaysia dan tertera tulisan ‘Chief of Army Malaysia’.
“Dakwaan mengatakan jam itu bernilai tinggi atau berjenama adalah tidak benar dan mengelirukan orang ramai,” ujarnya.
Menurut Aizul, beliau sendiri melihat jam yang dipakai oleh Muhammad Hafizuddeain pada hari pertuduhan dan mengesahkan ia bukan jam mewah, sebaliknya jam biasa keluaran rasmi pihak tentera.
Sehubungan itu, katanya, anak guamnya kini sedang mempertimbangkan secara serius untuk mengambil tindakan sivil terhadap individu-individu yang menyebarkan kenyataan fitnah, termasuk mana-mana institusi berkaitan sekiranya terdapat bukti penglibatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan untuk mengambil tindakan sivil bergantung kepada hasil siasatan dan bukti yang diperoleh.
“Tan Sri (Muhammad Hafizuddeain) juga tidak mahu menjejaskan integriti siasatan dan memberi ruang sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan secara bebas dan profesional,” jelasnya.
Tambahnya, selain membuat laporan, pihak polis turut mengambil keterangan daripada Muhammad Hafizuddeain hari ini dan proses berkenaan masih berjalan. – KOSMO! ONLINE














