KULIM – Seorang bekas tenaga pengajar maahad tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar lelaki, tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Abdullah Abu Bakar, 26, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Nur Hamizah Mat Shah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa di asrama sebuah pusat tahfiz di Sungai Kob, di sini kira-kira pukul 10 malam, 29 September 2025.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, R. Jayasri memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000, namun peguam daripada firma Hisham Yunus & Co yang mewakili tertuduh memohon jumlah tersebut dikurangkan kerana tertuduh telah diberhentikan kerja.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Tertuduh membayar jaminan dikenakan dan kes akan disebut semula pada 3 Mac depan.
Kosmo! pada 20 Disember tahun lalu melaporkan polis mengambil keterangan seorang tenaga pengajar sebuah maahad tahfiz berusia 26 tahun berhubung insiden seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun dirotan di Sungai Kob yang tular di media sosial.
Kejadian dikatakan berlaku selepas pelajar terbabit dikatakan mengganggu pelajar lain yang sedang belajar. – KOSMO! ONLINE














