KUALA LUMPUR – Bekalan ayam dan telur di pasaran berada dalam keadaan stabil dan terkawal sekali gus memberi jaminan kepada rakyat menjelang bulan Ramadan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu berkata, data semasa menunjukkan kedudukan bekalan ayam dan telur agak stabil dan reda.
“Kita lihat insya-Allah menjelang bulan Ramadan, lihat data-data yang ada kepada kita, ianya akan stabil kedudukan ayam dan telur ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mohammad berkata, antara faktor yang kadangkala menjejaskan pasaran adalah isu penyeludupan, maka kerjasama antara kementerian dan agensi penguatkuasaan terus diperkukuh bagi membendung aktiviti itu.
Selain itu, katanya, kerajaan turut memberi penekanan kepada keseimbangan antara import dan pengeluaran tempatan bagi memastikan bekalan makanan asas negara sentiasa mencukupi.
Beliau namun mengakui kos pengeluaran ternakan khususnya makanan ternakan meningkat dan memberi tekanan kepada penternak terutama pengusaha kecil.
Sehubungan itu, katanya, kementerian melaksanakan pelbagai langkah menanganinya termasuk meningkatkan penanaman jagung bijirin tempatan dengan sasaran sehingga 30 peratus.
Jelas beliau, penanaman jagung bijirin tempatan termasuk projek di Perlis melibatkan keluasan 2,000 hektar dengan penyertaan awal 15 syarikat.
Beliau turut memaklumkan kerajaan akan menyediakan sokongan kewangan, logistik dan teknikal pada peringkat awal pelaksanaan projek tersebut.
Tambah beliau, kerajaan menggalakkan penglibatan negeri-negeri lain seperti Sabah dan Sarawak yang mempunyai keluasan tanah pertanian yang besar.
Dalam masa sama, katanya, penggunaan bahan mentah alternatif sebagai makanan ternakan turut diperkasakan termasuk sisa industri sawit seperti isi rong sawit. – KOSMO! ONLINE














