fbpx
Dzulkefly (dua dari kiri) hadir pada Majlis Penutup dan Penyerahan Resolusi Simposium Asatizah Hospital 2026 di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, hari ini.

Asatizah hospital semakin relevan dalam rawatan moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Kementerian Kesihatan komited memastikan potensi asatizah hospital terus diiktiraf dan dimanfaatkan secara menyeluruh agar peranan mereka dapat diperkasakan sebagai rakan strategik dalam ekosistem penjagaan kesihatan negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad berkata, asatizah hospital bukan hanya berperanan membimbing ibadah pesakit, malah terlibat secara langsung dalam memastikan kesejahteraan holistik merangkumi pesakit, ahli keluarga serta warga kerja kesihatan.

Menurut beliau, keperluan terhadap bimbingan kerohanian yang berautoriti, berempati dan berpaksikan kefahaman agama yang sahih semakin ketara, khususnya ketika pesakit berdepan krisis kesihatan serta persoalan kehidupan yang mendalam.

“Aspek kerohanian dan sensitiviti agama merupakan elemen penting yang tidak boleh dipisahkan daripada ekosistem kesihatan moden.

“Justeru, pengukuhan kompetensi serta tahap profesionalisme asatizah hospital perlu diberi perhatian serius agar peranan mereka lebih tersusun dan berimpak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup dan Penyerahan Resolusi Simposium Asatizah Hospital 2026 di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, di sini hari ini.

Simposium yang menghimpunkan asatizah hospital, petugas kesihatan, penyelidik serta pakar rujuk daripada institusi kesihatan awam dan swasta itu disifatkan sebagai langkah penting ke arah memperkukuh sistem sokongan kerohanian dalam perkhidmatan kesihatan negara.

Program bertemakan Mengoptimum Potensi, Mempertingkat Kualiti itu dianjurkan oleh Medic IG Training, Education and Consultancy (MIGTEC) dengan kerjasama strategik Hospital Pakar An-Nur serta AQWA Training and Consultancy.

Sementara itu, Ahli Majlis Penasihat Syariah Hospital Pakar An-Nur, Prof. Madya Dr. Ustazah Hamidah Mat berkata, kesejahteraan insan perlu dinilai secara menyeluruh melibatkan aspek fizikal, emosi dan rohani.

Katanya, hospital bukan sekadar tempat rawatan, sebaliknya medan penting untuk menyantuni jiwa manusia agar proses penyembuhan dapat berlaku secara lebih holistik dan bermakna. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN