fbpx
Khalid pada sidang akhbar di pekarangan luar Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO! ONLINE

494 kes buang sampah di tempat awam, warga tempatan paling ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Penguatkuasaan undang-undang kebersihan negara bagi kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam dilaksanakan secara tegas tanpa mengira status individu termasuk sama ada mereka merupakan warga tempatan atau asing.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, pihaknya sehingga semalam mengeluarkan sebanyak 494 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di tujuh negeri yang melaksanakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 377 kes melibatkan warga tempatan dan 117 kes melibatkan warga asing.

“Statistik ini membuktikan bahawa pendekatan penguatkuasaan dilaksanakan secara menyeluruh, konsisten dan berfokus kepada pembentukan disiplin masyarakat terhadap penjagaan kebersihan awam,” katanya kepada pemberita di pekarangan luar Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Kata beliau, di Kedah, NPK yang dikeluarkan melibatkan 103 kes warga tempatan dan 17 kes warga asing.

“Sebanyak 57 kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan 37 kes memperoleh izin dakwa. Dua kes dijadualkan untuk sebutan di mahkamah pada 12 Februari dan 16 Februari depan,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai bentuk perintah khidmat masyarakat yang akan dikenakan kepada pesalah, beliau berkata ia akan diputuskan mengikut kesesuaian pesalah dengan aspek keselamatan diberi keutamaan.

Tambahnya, SWCorp turut melaksanakan operasi Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) secara menyeluruh di kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

“Sepanjang operasi tersebut, sebanyak 27 NPK telah dikeluarkan kepada individu yang ditangkap melakukan kesalahan membuang sampah kecil di kawasan berkenaan,” katanya.

Terdahulu, seorang lelaki Indonesia didenda RM300 dan diarah menjalani perintah khidmat masyarakat selama enam jam oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan membuang puntung rokok pada 1 Januari lalu.

Jufri Zulkifli, 39, selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Sebelum itu, pada 23 Januari lalu, dua individu iaitu seorang wanita Indonesia dan seorang lelaki Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru atas kesalahan membuang sisa pepejal iaitu botol minuman dan puntung rokok, di tempat awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI