PETALING JAYA – Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta memantau rapat operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan pihak berkuasa Indonesia susulan kejadian tanah runtuh di Kampung Pasir Kuning, Desa Pasirlangu, Kecamatan Cisarua, Kabupaten Bandung Barat, Jawa Barat kelmarin.
Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, setakat pukul 10 malam (waktu tempatan) semalam, tragedi tersebut dilaporkan mengorbankan 10 nyawa, manakala 81 mangsa masih hilang.
Bagaimanapun, kementerian mengesahkan setakat ini tiada warga Malaysia terkesan dalam kejadian bencana tersebut.
“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menghubungi wakil pelajar dan warga Malaysia yang berdaftar di Bandung Barat, selain berhubung secara aktif dengan Kementerian Luar Negeri Republik Indonesia bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan SAR,” katanya.
Wisma Putra turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat serta mendoakan agar operasi SAR yang sedang digerakkan oleh pihak berkuasa Indonesia dipermudahkan.
Sehubungan itu, warga Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi talian +62 813 8081 3036 atau e-mel [email protected]. – KOSMO! ONLINE














