SEBERANG PERAI – Seorang remaja lelaki maut manakala tujuh lagi cedera selepas motosikal yang mereka tunggang bergesel antara satu sama lain dalam kemalangan di Kilometer 8.2 Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, mangsa berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua lapan motosikal terbabit sedang bergerak dari arah Seberang Jaya menuju Kulim ketika kejadian berlaku.
“Setibanya di lokasi kejadian, salah sebuah motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum kesemuanya bergesel dan berlanggar sesama sendiri.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar besi penghadang yang memisahkan lorong motosikal dan kenderaan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, tujuh lagi mangsa berusia antara 18 hingga 22 tahun mengalami kecederaan padai bahagian tangan dan kaki serta menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ), manakala mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat. -KOSMO! ONLINE














