KUALA LUMPUR – Bekas juara, Kuala Lumpur City mencipta cerita kebangkitan luar biasa untuk mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia selepas mengatasi wakil Liga A1 Semi Pro, Perak 3-2 secara agregat.
Selepas tumbang 0-2 pada perlawanan pertama, The City Boys memastikan kejayaan 3-0 pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Bintang import, Nicolao Dumitru muncul wira tuan rumah selepas meledak gol ketiga pada penghujung masa tambahan pertama.
Terdahulu, KL City yang memerlukan tiga gol untuk layak terus mengasak gawang lawan namun penjaga gol pelawat, Ahmad Syazwan Syazany Ahmad Shafei turut cemerlang melakukan halangan.
Minit ke-54, KL City dihadiahkan sepakan penalti dan peluang keemasan itu tenang disempurnakan oleh Safawi Rasid diikuti jaringan kedua daripada Paulo Josue menerusi sepakan percuma pada minit ke-90.
Walaupun makin ditekan, Perak seakan kekal berdisiplin untuk mengekang asakan namun memasuki minit ke-105, Dumitru berjaya menempatkan diri di kedudukan terbaik untuk menanduk masuk gol kemenangan KL City.
Pada peringkat suku akhir nanti, skuad kendalian Risto Vidakovic dijadualkan menentang Terengganu yang layak selepas mengalahkan satu lagi wakil Liga A1 Semi Pro, UM-Damansara United 7-0 secara agregat. – KOSMO! ONLINE













