fbpx
Rusdi

10 syarikat dalam senarai CCID

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebanyak 10 syarikat disyaki terbabit kegiatan penipuan pelaburan dikenal pasti menggunakan akaun bank bagi tujuan penyelewengan dengan 111 laporan polis direkodkan dalam pangkalan data Semakmule CCID dalam masa sebulan setakat 15 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, senarai itu didahului JMC (M) Trading Venture dan JMC Top Trading dengan 20 laporan polis, manakala CVC Grow Star Sdn. Bhd. dan KGI HK Sdn. Bhd. dengan 16 dan 15 laporan polis.

“Turut tersenarai Luluk Sempurna Renovation Sdn. Bhd. dan Rosnitah Mewah Trading Sdn. Bhd. masing-masing 13 laporan, Aura Evergreen Management Sdn. Bhd. serta Aura Evergreen Premier Sdn. Bhd. (12 laporan), manakala Titan Union Trading Sdn. Bhd. dan WWF Global Enterprise (11 laporan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terperdaya dengan iklan pelaburan di media sosial yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat kerana ia merupakan antara ciri-ciri utama skim pelaburan tidak wujud.

Orang ramai digalakkan membuat semakan melalui portal Semakmule CCID sebelum melakukan sebarang transaksi termasuk menyemak nombor akaun bank, nombor telefon dan nama syarikat.

Beliau berkata, status pendaftaran syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat bukan jaminan keselamatan kerana ada yang disalahgunakan sebagai akaun keldai.

Katanya, antara petunjuk pelaburan mencurigakan adalah janji keuntungan yang luar biasa, penggunaan aplikasi yang dimuat turun melalui pautan pihak ketiga selain arahan memindahkan wang ke akaun berbeza bukannya akaun rasmi platform pelaburan.

“Senarai syarikat atau akaun yang mempunyai laporan polis boleh disemak dalam pangkalan data Semakmule CCID. Orang ramai juga disaran menyemak Investor Alert List yang dikemas kini oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia melalui laman sesawang rasmi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN