fbpx
Anggota polis dan bomba mengusung jenazah arwah Fatimah yang rentung dalam kebakaran di Jalan Tok Guru, Kota Bharu hari ini.

Lambaian terakhir Kak Moh sebelum dijumpai rentung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang wanita warga emas yang dijumpai rentung dalam kebakaran sempat melambai tangan meminta pertolongan dari jendela sebelum terjatuh apabila rumahnya di Jalan Tok Guru di sini terbakar petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Fatimah Mat Said, 89, tidak sempat menyelamatkan diri apabila api marak membakar keseluruhan rumahnya.

Jiran mangsa, Anis Suriati Mohamed, 45, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi hentakan kuat berulang kali sebelum melihat mangsa melambai tangan meminta pertolongan.

“Saya nampak Kak Moh (Fatimah) berada di jendela rumah dengan tangannya melambai-lambai. Ketika itu, lantai rumah sedang dijilat api sebelum dia terjatuh.

“Saya tergamam melihat keadaan itu dan terus hubungi bomba untuk mendapatkan bantuan. Arwah tinggal seorang diri di rumah itu sejak lebih 30 tahun lalu dan berdepan kekangan pergerakan akibat faktor usia, penglihatan kabur selain pendengaran yang terhad,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Anis Suriati memberitahu, keadaan itu menyebabkan Allahyarham Fatimah hanya mampu bergerak dalam keadaan berpaut pada bahagian dalam rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan jenazah mangsa dikeluarkan dari rumah itu kira-kira pukul 8.39 malam selepas api berjaya dikawal sepenuhnya oleh anggota bomba.

Sementara itu, anak kepada arwah yang dikenali Razi, 50, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan ibunya kira-kira dua minggu lalu ketika datang untuk memberi wang belanja.

“Sebelum ini, saya kerap mengajak ibu untuk tinggal bersama, tetapi dia tidak mahu. Apa pun saya reda dengan kejadian ini,” katanya.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang wanita warga emas dijumpai rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Jalan Tok Guru di sini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Satyuti Satar berkata, anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati rumah tersebut sudah 90 peratus terbakar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN