PETALING JAYA – Ketika dua pelakon iaitu Puteri Balqis dan Janna Nick rancak ‘berperang’ dalam media sosial, muncul pula penyanyi, Baby Shima menghangatkan keadaan seperti mencurahkan minyak ke dalam api.
Baby Shima dalam satu hantaran media sosial mendedahkan pernah menjadi mangsa kepada artis berpangkalan nama ‘JN’ yang didakwa ramai adalah Janna.
Menurutnya, selain Puteri Balqis, dia juga pernah menjadi sasaran JN sebelum ini.
“JN sibuk nak nampak paling betul fasal isu Aqish. Sama seperti dulu, sibuk bercakap pasal kita.
“Padahal, kita baik saja dengan dia,” katanya.
Dia bagaimanapun tidak berkongsi lanjut mengenai perkara yang JN lemparkan kepadanya.
Namun, difahamkan JN pernah mengeluarkan hantaran berbentuk teguran kepada Baby Shima berhubung konten memaparkan penyanyi dangdut itu memijak bendera Israel sekitar tahun 2023.
“Berhenti buat konten macam ini. Ini bukan gurauan,” tegurnya.
Sejak semalam, nama JN atau difahamkan Janna menjadi topik bualan hangat selepas dikatakan cuba campur tangan isu melibatkan Puteri Balqis dengan Mia Sara Nasuha.
Namun sebaliknya berlaku apabila Puteri Balqis mendedahkan perkara lain seperti mendakwa Janna juga pernah memberi layanan tidak acuh terhadapnya ketika menjalani penggambaran bersama sebelum ini.
Rentetan itu, Janna turut mengeluarkan kenyataan bersedia bersemuka dengan Puteri Balqis secara online bagi menyelesaikan kemelut antara mereka. – KOSMO! ONLINE














