fbpx
Gambar hiasan.

‘Jangan terus berlindung di sebalik kekurangan anggota’ – MCW

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Alasan kekurangan anggota, beban kerja tinggi serta ketiadaan pemantauan kamera televisyen litar tertutup (CCTV) 24 jam tidak wajar terus dijadikan hujah berulang bagi menjelaskan isu ketirisan di pintu masuk negara.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, masalah tersebut bukan isu baharu, malah telah dibangkitkan sejak bertahun-tahun lalu, namun kegagalan merancang keperluan sumber manusia, teknologi dan peruntukan secara strategik mencerminkan kelemahan tadbir urus.

“Isu ini bukan baharu. Kegagalan membuat perancangan jangka sederhana dan panjang menunjukkan kelemahan pengurusan, bukan sekadar kekangan operasi.

“Setiap agensi penguatkuasaan sepatutnya mempunyai analisis risiko, pelan SWOT serta perancangan bajet yang selari dengan peningkatan jumlah pelawat, migrasi dan ancaman sempadan yang semakin kompleks,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, masalah sebenar bukan hanya melibatkan kekurangan anggota atau peralatan, sebaliknya berpunca daripada budaya kerja yang diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.

“Selagi budaya toleransi terhadap kelemahan, ketirisan dan salah laku tidak dibanteras secara menyeluruh, ruang rasuah akan terus wujud walaupun jumlah anggota ditambah,” jelasnya.

Sehubungan itu, MCW menuntut reformasi menyeluruh termasuk pembinaan budaya integriti, penggunaan teknologi pengawasan secara wajib dan telus serta akauntabiliti kepimpinan yang jelas.

Terdahulu, media melaporkan kekurangan anggota, beban kerja tinggi dan ketiadaan CCTV 24 jam dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada ketirisan di pintu masuk negara.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dilapor berkata, kekurangan pegawai boleh menjejaskan keberkesanan operasi di kaunter pemeriksaan sekali gus meningkatkan beban tugas harian serta risiko keletihan dalam kalangan anggota bertugas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI