fbpx
Gambar hiasan.

Aset Tan Sri RM9.7 juta disita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini menyita aset bernilai RM9.7 juta dalam siasatan kes penyelewengan dana pelaburan berjumlah RM300 juta yang sedang dijalankan.

Sumber memaklumkan, sitaan terkini melibatkan enam buah rumah bernilai RM6.54 juta, satu lot tanah dianggarkan RM1.8 juta serta dua kenderaan mewah bernilai RM1.35 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sitaan sebanyak RM9.7 juta.

“(Selain itu), sebanyak 14 akaun bank turut disita, namun nilai amaun masih dalam proses pengesahan pihak bank ,” katanya hari ini.

Menurut sumber juga, seorang individu wanita bergelar Datuk yang sebelum ini direman selama lima hari telah dibebaskan dengan jaminan pada semalam, kira-kira pukul 2 petang.

“Seorang lagi individu bergelar Tan Sri yang direman sejak Khamis lalu turut dibebaskan hari ini, pada pukul 12 tengah hari,” jelasnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan maklumat berkenaan dan turut memaklumkan sehingga kini, seramai 10 orang saksi telah dipanggil untuk dirakam percakapan.

“SPRM sedang giat mengesan saksi-saksi lain bagi membantu melengkapkan siasatan,” ujarnya.

Azam juga menegaskan bahawa SPRM akan terus komited untuk melengkapkan siasatan yang melibatkan kepentingan awam ini dengan kadar segera.

Terdahulu, media melaporkan, lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu dicekup selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Rabu lalu.

Lelaki yang merupakan tokoh kewangan Islam itu kemudian ditahan reman selama empat.

Susulan itu, SPRM telah membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan individu berkenaan disyaki menyeleweng dana pelaburan berjumlah hampir RM300 juta.

SPRM juga menahan dua individu serta melakukan penggeledahan di lima premis sekitar Lembah Klang pada Rabu dan Khamis lalu.

Selain itu, siasatan awal mendapati antara tahun 2021 hingga 2024, sejumlah hampir RM300 juta berjaya dikutip daripada kira-kira 1,700 pelabur bagi tujuan pelaburan ke atas dua buah syarikat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI