PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Sabah semalam.
Beliau berkata, kemenangan itu mencerminkan keyakinan rakyat yang berterusan terhadap usaha, khidmat dan komitmen yang ditunjukkan BN di peringkat akar umbi.
“Tahniah kepada Yang Berhormat (YB) Parlimen Kinabatangan dan YB DUN Lamag yang baharu, Mohd. Kurniawan Naim Moktar serta Mohd. Ismail Ayob atas kemenangan ini, dengan doa agar legasi khidmat dan kepemimpinan Allahyarham Bung Moktar Radin terus dipelihara sebaiknya,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Keputusan tidak rasmi selepas pengiraan semua saluran semalam menyaksikan BN memenangi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 14,214 undi, manakala DUN Lamag dengan majoriti 5,681 undi.
Anwar berkata, kemenangan itu wajar ditanggapi dengan penuh tanggungjawab sebagai amanah rakyat yang menuntut kepemimpinan berintegriti, khidmat berkesan serta keupayaan menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif dan berterusan.
Menurut beliau, Kerajaan Madani akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan bagi memastikan pembangunan di Sabah dapat diperkukuh.
Beliau turut menegaskan bahawa kesejahteraan rakyat akan terus dipelihara dan agenda Madani akan dijelmakan secara bersama. – KOSMO! ONLINE














