PETALING JAYA – Lafaz cerai yang dilakukan di luar mahkamah berisiko besar terutama dengan kekeliruan status perkahwinan dan berkemungkinan besar tidak diiktiraf oleh Mahkamah Syariah.
Menerusi perkongsian peguam syarie di TikTok @Peguamsyarienaim, talak mungkin jatuh sekiranya cukup syarat mengikut hukum Islam namun tetap boleh dikenakan denda.
“Ramai yang tak sedar, lafaz cerai di luar mahkamah sebenarnya berisiko besar. Dari sudut hukum Islam, talak mungkin jatuh jika cukup syarat. Tetapi sebenarnya ada risiko lain.
“Dari segi undang-undang, lafaz cerai luar mahkamah tidak diiktiraf selagi tidak disahkan oleh Mahkamah Syariah.
“Suami yang melafazkan cerai tanpa kebenaran mahkamah boleh dikenakan denda rata-rata negeri tetapkan sama ada RM1,000 atau penjara kerana melanggar undang-undang keluarga Islam,” katanya.
Sementara itu, hak isteri dan anak juga boleh terjejas terutama tanpa pengesahan, tuntutan nafkah iddah dan mutaah yang tidak dapat dibuat secara sah.
Lebih menakutkan sekiranya lafaz cerai tidak dilaporkan dengan status suami isteri jadi tidak jelas sekali gus hubungan intim selepas talak jatuh boleh dianggap zina.
“Kesimpulannya, kalau berlaku lafaz cerai, langkah paling selamat ialah segera laporkan ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan. Bukan sekadar prosedur, tapi untuk elakkan kekeliruan dan masalah besar pada masa depan,” ujarnya. –KOSMO! ONLINE
@peguamsyarienaim Ramai ingat hanya isteri terbeban bila bercerai. Hakikatnya, suami juga memikul amanah besar: nafkah iddah, mutaah, nafkah tertunggak, nafkah anak dan urusan harta sepencarian. Ini semua hak yang perlu diselesaikan. Perceraian bukan alasan untuk lari dari tanggungjawab. #peguamsyariekelantan #nafkah #tanggungjawabsuamiselepascerai ♬ original sound – Nadeera














