PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan perbuatan menyebarkan, mendedahkan atau memaparkan maklumat peribadi seseorang tanpa kebenaran adalah menyalahi undang-undang selain boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung penyebaran maklumat peribadi seorang individu di platform dalam talian.
Beliau menegaskan perbuatan menyebarkan maklumat peribadi seseorang termasuk alamat kediaman, nombor telefon, nombor pengenalan diri dan maklumat keluarga, adalah satu perbuatan yang salah.
“Perbuatan itu dikenali sebagai ‘doxing’ dan boleh disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang sedia ada. Antaranya Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, serta Seksyen 507E dan 507F Kanun Keseksaan (KK),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bermula Julai tahun lalu, kesalahan membuli kini diperuntukkan secara khusus di dalam Kanun Keseksaan dan mengikut Seksyen 507E KK iaitu kesalahan menyiar atau mengedar apa-apa maklumat identiti seseorang dengan niat untuk menyebabkan gangguan, distres, ketakutan atau kebimbangan, pesalah boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, jika pesalahnya didapati bersalah di bawah Seksyen 507F (1) kerana menyiar atau mengedar apa-apa maklumat identiti seseorang dengan niat akan menyebabkan orang itu percaya bahawa kemudaratan akan menimpa dirinya atau orang yang berkaitan pula berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.
Pesalah turut berdepan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya jika didapati bersalah di bawah Seksyen 507 (2) kerana menyiar atau mengedar apa-apa maklumat identiti seseorang dengan niat untuk memudahkan, menyebabkan orang itu percaya berkemungkinan boleh memudahkan, menyebabkan kemudaratan kepada orang itu atau orang yang berkaitan.
Mohd. Khalid turut menegaskan prinsip perlindungan data peribadi terpakai kepada semua individu tanpa mengira latar belakang, pandangan atau situasi semasa, selain tidak boleh dijadikan alasan untuk tindakan balas dendam, ugutan atau gangguan dalam talian.
“Sehubungan itu, PDRM mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk penyebaran maklumat peribadi serta mengamalkan etika dan tanggungjawab dalam penggunaan platform digital,.
“PDRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berkaitan selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan keselamatan awam,” katanya.-KOSMO! ONLINE














