LONDON – Seorang wanita di Britain mengalami detik cemas apabila dipatuk seekor ular berwarna hitam yang bersembunyi di bawah bantalnya, lapor akhbar The Sun UK.
Daisy Conway, 21, terjaga daripada tidur selepas mendengar bayinya yang berusia enam bulan, Theo, menangis pada alat pemantau bayi.
Selepas selesai menguruskan Theo dan cuba untuk tidur, Daisy tiba-tiba merasakan seperti tusukan tajam pada jarinya.
“Rasanya seperti digigit oleh sesuatu tetapi saya tidak tahu apa, rupa-rupanya ular. Reptilia itu berada di sebelah saya dengan kepalanya menjulur keluar dari bantal.
“Saya melompat dari katil dan menjerit sekuat hati,” kata Daisy.
Jeritan Daisy yang kuat mengejutkan teman lelakinya, Bailey Lyth, 23, yang sedang tidur nyenyak.
Mereka segera menghubungi pasukan kecemasan, manakala Daisy dikejarkan ke hospital untuk melakukan pemeriksaan.
Ular daripada spesies ‘Mexican black kingsnake’ itu berjaya ditangkap dan dibawa ke kedai haiwan peliharaan eksotik. – AGENSI














