fbpx
AHMAD ZAHID ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga DUN Telok Mas di Alai, Melaka hari ini.

PRN Melaka dijangka dalam tempoh 10 bulan – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka diadakan dalam tempoh antara dua hingga 10 bulan, berdasarkan unjuran dan bacaan politik semasa parti.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, tempoh itu diambil kira sebagai sebahagian daripada persiapan parti menghadapi PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, dengan Melaka menjadi tumpuan utama kerana BN sebelum ini memenangi dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bagi saya, bacaan saya lah, tempoh antara dua hingga 10 bulan untuk Melaka (PRN) dan PRU antara 18 bulan hingga 22 bulan.

“Kita perlu tumpukan pada Melaka kerana dulu ketika kita menjadi sebahagian daripada kerajaan dan ketika salah seorang daripada pemimpin UMNO menjadi Perdana Menteri, kita memperolehi 21 kerusi daripada 28 kerusi.

“Untuk memperolehi kejayaan itu sukar, tetapi mempertahankan kejayaan itu lebih sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga DUN Telok Mas di Alai, di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab utama kepimpinan dan jentera parti ketika ini adalah memastikan prestasi kerajaan negeri kekal baik serta kepercayaan rakyat terus dipelihara menjelang PRN.

Ujarnya lagi, ahli politik diingatkan supaya mengelakkan sebarang kesilapan yang boleh menjejaskan sokongan rakyat, khususnya dalam era media sosial yang pantas mempengaruhi persepsi awam.

“Sekarang ini tugas kita di Melaka adalah untuk mempertahankan kejayaan, saya tidak mahu kesukaran ini melebihi daripada kesukaran yang pernah kita hadapi dalam PRN yang lalu.

“Panas setahun, janganlah sampai hujan sehari. Maksud saya di sini kerja-kerja yang baik memang kita dapat penghargaan daripada rakyat keseluruhannya tapi janganlah sekali pun melakukan kesilapan kerana itulah yang akan membasahkan bumi dan hilanglah kepanasan sepanjang tahun.

“Yang kedua, kita mesti jaga mulut dan ketiga, kita mesti jaga telinga serta tapislah maklumat yang sampai kepada kita. Jangan apa sahaja yang sampai kepada kita, maka kita terus melenting dan bereaksi tanpa memikirkan akibat jangka pendek dan jangka panjang,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI