SHAH ALAM – Seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah menyembunyikan dan melindungi empat migran warga negara sama.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, sabitan itu dibuat mengikut Seksyen 26H, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670].
Beliau berkata, tertuduh Rabbi Hosen dijatuhi hukuman pada Khamis selepas didapati bersalah bertindak sebagai penjaga rumah penampungan migran yang dijadikan premis transit bagi aktiviti penyeludupan migran.
Kes itu terbongkar hasil Operasi Khas oleh Ibu Pejabat JIM pada 4 November tahun lalu di Rumah Pangsa Rampai Idaman, Prima Damansara, Petaling Jaya, apabila tertuduh bersama empat migran ditemui dalam sebuah unit kediaman di lokasi berkenaan.
“JIM menegaskan komitmen berterusan membanteras penyeludupan migran dan pemerdagangan orang, selain memberi amaran tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pemilik premis yang menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
“Orang ramai juga digesa supaya tidak melindungi atau membantu pihak yang melanggar undang-undang imigresen, sebaliknya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan haram melalui saluran rasmi aduan JIM,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE














