fbpx
Mohd. Misuari (kanan) memeriksa dokumen pemandu sebuah van persendirian dari Thailand pada Ops Khas Tunggak dan Teknikal di Stesen Penguat Kuasa JPJ Bukit Bunga, Tanah Merah malam tadi.

Pemandu van Thailand beri alasan ‘masuk sekejap’ elak mohon permit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANAH MERAH – Alasan hanya ‘masuk sekejap’ dikenal pasti sebagai taktik yang sering digunakan pemandu van persendirian dari Thailand untuk mengelak daripada memohon Permit Edaran Antarabangsa (ICP) semasa membawa masuk pelancong ke negara ini melalui pintu sempadan Kelantan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, pemandu kenderaan asing terbabit mendakwa pergerakan mereka hanya dalam lingkungan dua kilometer dari pintu sempadan yang secara undang-undangnya tidak memerlukan ICP.

Katanya, siasatan mendapati, alasan tersebut digunakan bagi mengelak rekod kemasukan dalam sistem pihak berkuasa tempatan selain menyalahgunakan kelonggaran pergerakan di kawasan sempadan.

“Alasan ‘masuk sekejap’ ini sering digunakan walaupun pergerakan sebenar kenderaan terbabit didapati melebihi jarak yang dibenarkan.

“Ada juga pemandu yang mendakwa tidak mengetahui keperluan memiliki ICP walaupun kenderaan digunakan bagi membawa pelancong masuk ke negara ini,” katanya kepada pemberita selepas Ops Khas Tunggak dan Teknikal di Stesen Penguat Kuasa JPJ Bukit Bunga di sini malam tadi.

Mohd. Misuari memberitahu, pihaknya percaya tindakan berkenaan disyaki bertujuan mengelak pengesanan dan pemeriksaan lanjut oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang Ops Khas Tunggak yang dijalankan bermula 16 Januari hingga semalam, sebanyak 67 kenderaan diperiksa dengan 42 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, kesalahan itu melibatkan pelanggaran syarat ICP serta kesalahan teknikal termasuk penggunaan cermin gelap dan pemasangan tirai atau langsir dengan jumlah kutipan saman mencecah RM6,750.

“Sepanjang tahun lalu, JPJ Kelantan mengeluarkan 277 notis saman P22 melibatkan 182 saman pemandu dan 95 saman kenderaan dengan jumlah kutipan keseluruhan RM99,100.

“Kes tertinggi direkodkan adalah pameran ICP tidak mengikut ketetapan dengan 139 notis saman dan kutipan melebihi RM54,000, diikuti 70 kes cermin gelap dengan kutipan RM21,250 serta 25 kes tiada ICP berjumlah RM12,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN